BAB 7: STRATEGI MENGURUS BILIK PEMBELAJARAN


Nama: Abigail Michelle Ugi
No Matrik: D20191088021



BAB 7
STRATEGI MENGURUS BILIK PEMBELAJARAN 

PENULISAN LITERATUR


1.0 PENGENALAN
Bab ketujuh di dalam kursus KPS 3012: Pengurusan Pembelajaran ini membincangkan tentang strategi pengurusan bilik belajar. Bab ini bertujuan untuk menjelaskan konsep, strategi dan juga teori yang menyentuh mengenai pengurusan bilik belajar yang telah diambil dan dirujuk daripada maklumat yang berbentuk kajian literatur, maklumat sekunder berbentuk data dan pandangan, kajian soal selidik dan juga pengalaman penulis. Rujukan maklumat yang berbentuk kajian literatur, penulisan ilmiah dan soal selidik ini diambil daripada kajian tempatan. Antara sub topik yang akan dibincangkan di dalam penulisan ini ialah seperti yang berikut:

a) Konsep Bilik Belajar
b) Konsep Strategi
c) Konsep Pengurusan Bilik Belajar
d) Faktor Mempengaruhi Strategi Pengurusan Bilik Belajar
e) Teori Motivasi Pembelajaran
f) Kesimpulan

2.0 KONSEP BILIK PEMBELAJARAN

Bilik pembelajaran merupakan tempat yang terpenting dan wajib ada dalam sesebuah sekolah. Bilik pembelajaran seperti bilik darjah, makmal, studio dan lain-lain merupakan tempat di mana berlakunya proses pembelajaran dan pengajaran yang dikenali sebagai PdP. Bilik-bilik ini merupakan ruang yang disediakan oleh sekolah untuk sekumpulan pelajar untuk tujuan belajar dan diajar mata pelajaran oleh guru-guru. Selain itu, bilik pembelajaran ini berfungsi sebagai ruang untuk pelajar dan guru berinteraksi di antara satu dengan lain.

3.0 KONSEP STRATEGI

Strategi didefinisikan sebagai satu susunan pendekatan atau kaedah yang digunakan untuk mencapai sesuatu matlamat mahupun tujuan dengan menggunakan bantuan masa, tenaga dan juga kemudahan yang telah diperolehi secara optimum. Selain itu, menurut Benoit dan Tergeorgis (dalam Anna Sam, 2014) mereka menjelaskan bahawa strategi membawa maksud kepelbagaian cara untuk mencapai tujuan.

4.0 KONSEP PENGURUSAN BILIK BELAJAR

Maksud pengurusan bilik darjah ialah satu proses yang melibatkan penyusunan fizikal sesebuah bilik darjah, serta galakan komunikasi dan interaksi antara murid dan melibatkan penyediaan persekitaran sosiomosi yang sihat. Pengurusan bilik belajar didefinisikan sebagai satu proses yang berterusan dan  memerlukan bantuan guru untuk mengurus bilik darjah agar proses pembelajaran dan pengajaran dapat dijalankan secara baik dan mewujudkan pembelajaran yang lebih efektif. Selain itu, pengurusan bilik darjah sebagai organisasi dan kawalan guru ke atas tingkah laku dan pergerakan serta interaksi murid semasa pembelajaran berlangsung supaya pengajaran dapat dilaksanankan dengan berkesan menurut Richards dalam penulisan Anna Sam (2014).Manakala, menurut Ee Ah Meng (1995), peranan guru adalah begitu rumit. Guru haruslah mewujudkan suasana yang penuh kemesraan dan dan kasih sayang di dalam bilik darjah. Oleh itu, Guru-guru menggalas satu tanggungjawab yang cukup penting dalam proses dan penemuan strategi-strategi pengurusan bilik belajar agar dapat mewujudkan ruang belajar yang bersifat kondusif dan juga sesuai untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran yang sempurna. Seperti yang ditulis oleh Mohd Hasani Dali & Mohamad Johdi Salleh (2009) bahawa bilik darjah perlu diurus dengan keadaan terbaik dan kondusif agar pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan efektif serta guru boleh dinobatkan sebagai pendidik berketerampilan cemerlang.

5.0 FAKTOR MEMPENGARUHI STRATEGI PENGURUSAN BILIK BELAJAR

Melalui pembacaan dan penelitian terhadap bahan-bahan yang telah dikumpulkan, terdapat 3 faktor utama yang mempengaruhi strategi dalam pengurusan bilik belajar yang memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan keadaan bilik belajar yang menggalakkan proses pembelajaran untuk menjadi lebih efektif dan juga berjalan seiring dengan matlamat dan objektif pelajaran. Faktor-faktor yang telah didapati melalui hasil kajian ialah faktor fizikal, faktor interaksi dan juga faktor iklim.

5.1 FAKTOR FIZIKAL

Menurut Marland (1975), suasana fizikal bilik darjah mungkin merupakan ‘kawan’ atau ‘musuh dalam pengajaran. Faktor fizikal merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi dan membantu untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, selesa dan memberangsangkan. Oleh itu, Persekitaran fizikal bilik pembelajaran haruslah diberi perhatian yang sewajarnya dan memerlukan rancangan yang teliti kerana persekitaraan bilik darjah dapat mempengaruhi suasana pembelajaran, tingkah laku pelajar dan penjanaan idea. Faktor fizikal merangkumi segala bentuk kemudahan dan peralatan yang terdapat di bilik pembelajaran. Kemudahan dan peralatan merujuk kepada strukutur ruang, tingkap dan pintu yang mencukupi untuk pencahayaan dan pengedaran udara dengan baik, kebersihan dan keindahan bilik darjah dan juga kemudahan seperti meja dan kerusi, papan kenyataan dan papan tulis. Susunan peralatan dan kemudahan asas merupakan kaedah yang penting untuk membantu keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta mengekalkan tumpuan dan minat pelajar untuk belajar. Susunan meja dan kerusi yang sesuai dapat mengalakkan interaksi dan pergerakkan diantara guru dan juga murid. Contoh susunan yang boleh dicontohi adalah penyusunan mengikut kesesuaian saiz bilik darjah dan susunan kerusi meja dalam kumpulan. Guru juga haruslah menentukan jumlah kerusi dan meja dalam satu kumpulan agar keselesaan dari segi ruang dapat dijaga bagi menyenangkan pergerakkan murid dan guru. Persekitaran kelas juga haruslah bersih dan harus dijaga oleh murid dan guru. Ini dapat diwujudkan melalui rutin bilik darjah yang sistematik di mana guru akan meletakkan tanggungjawab kepada murid untuk menjaga dan berkerjasama untuk menguruskan persekitaran kelas. Ruang belajar yang bersih dan juga mempunyai ruang yang sesuai dapat mempengaruhi proses pembelajaran yang lebih efektif kerana pelajar dapat melakukan aktiviti dengan selesa. Selain itu, bilik darjah juga haruslah dihiasi dengan alat bantu mengajar seperti buku-buku pelajaran, carta yang berkaitan dengan subjek pembelajaran dan juga gambar-gambar yang bersifat menarik dan informatif.

5.2 FAKTOR INTERAKSI
Seterusnya adalah faktor interaksi di dalam bilik pembelajaran. Interaksi didefinisikan sebagai perhubungan aktif antara satu sama lain yang melibatkan dua pihak atau lebih. Interaksi amatlah penting untuk proses pembelajaran yang efektif. Interaksi yang terjadi antara guru dengan pelajar, pelajar dengan pelajar atau pelajar dengan sumber belajar penting dalam mencapai tujuan pembelajaran yang ditetapkan. Terdapat beberapa jenis interaksi utama iaitu interaksi satu hala, dua hala, pelbagai hala yang melibatkan interaksi diantara guru dan pelajar dan murid dengan murid di dalam bilik darjah dan akhir sekali adalah interaksi berkomputer. Interaksi sehala bertujuan untuk membantu guru dalam mengawal segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam bilik darjah. Bagi interaksi dua hala, guru digalakkan untuk menggunakan kaedah yang berlainan seperti kaedah  pengajaran bersifat aktif, sesi perbincangan yang terbuka di dalam bilik darjah dan juga menggalakkan penyertaan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan menyoal dan meminta pendapat mereka. Pengunaan interaksi pelbagai hala yang memerlukan guru untuk mengunakkan kepelbagaian teknik pengajaran yang bersifat ujikaji, simulasi, perbincangan di dalam kumpulan dan juga kaedah penyelesaian masalah dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas. Sebagai guru, kita harus sedar bahawa murid zaman sekarang lebih terdedah kepada dunia maklumat yang luas. Oleh itu, sebagai seorang guru dalam era ledakan teknologi dan maklumat, guru haruslah bijak dalam menyediakan ruang interaksi yang luas semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. 

5.3 FAKTOR IKLIM BILIK DARJAH

Faktor yang terakhir adalah faktor iklim bilik darjah. Menurut Pusat Perkembangan Kokurikulum (1981) iklim bilik darjah didefinisikan sebagai suasana sekolah yang baik di mana keadaan persekitaran dirasakan selesa, tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang lancar. Bagi iklim bilik darjah yang dikatakan kondusif merupakan bilik darjah yang dikelolakan dengan baik, elok dipandang dan yang teratur. Iklim bilik darjah yang kondusif ini akan meningkatkan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, ini akan memberikan semangat dan juga kesejahteraan kepada pelajar yang menggunakannya untuk menjalankan aktiviti pembelajaran mereka. Iklim bilik darjah terbahagi kepada 3 iaitu suasana fizikal, sosial dan emosi.

5.3.1 SUASANA FIZIKAL

Persekitaran bilik belajar yang menyokong pengajaran dan pembelajaran yang efektif tidak wujud begitu sahaja. Guru mempunyai tanggungjawab untuk merancang serta mengunakkan pendekatan yang boleh mewujudkan persekitaran dan iklim yang kondusif. Suasana fizikal yang baik melibatkan unsur fizikal bilik darjah yang menarik dan bersih. Selain itu, wujudnya prasarana yang lengkap, dalam keadaan yang baik dan di susun secara teratur. Bilik belajar itu juga haruslah selamat dan bebas daripada ancaman, masalah disiplin sama ada di kalangan pelajar atau guru di dalam kelas.  

5.3.2 SUASANA SOSIAL& EMOSI

Howard (1947) menyatakan bahawa iklim sekolah merupakan keadaan sosial dan budaya di sekolah yang mempengaruhi tingkah laku orang di dalamnya. Suasana sosial merujuk perhubungan dan corak interaksi antara murid dengan murid, khasnya di dalam bilik darjah. Bagi mewujudkan suasana sosial bilik darjah yang baik, guru haruslah menggunakan gambaran suasana hubungan sosial yang diperoleh dengan menggunakan sosiogram melalui teknik pemerhatian sosiometri. Pengumpulan data ini penting untuk membantu guru mengenali dan memahami keupayaan, interaksi dan kesejahteraan mental setiap murid. Sosiometri ini boleh dilakukan melalui pengisian borang pengenalan diri pelajar yang ringkas untuk dijadikan analisis pada tahap interaksi dan perpaduan di kalangan rakan sebaya. Kaedah ini juga berfungsi untuk mengesan corak positif tertentu, atau perselisihan, yang mungkin wujud di antara beberapa orang murid dan bagaimana dinamik ini mempengaruhi kumpulan kerja mereka.

6.0 TEORI MOTIVASI PEMBELAJARAN

Melalui kajian yang telah dibuat oleh Ahmad Zabidi Abdul Razak tentang ciri iklim berkesan dan implikasi terhadap motivasi pembelajaran murid, dia menggunakan teori motivasi pembelajaran yang telah dibentangkan oleh Rotter pada tahun 1975. Teori ini menunjukkan bahawa kewujudan iklim mempunyai kaitan dengan motivasi pembelajaran murid. Melalui kajian yang dibuat di beberapa sekolah-sekolah agama di kawasan selangor dan pengamalan budaya islam sebagai ciri terpenting untuk keberkesanan sekolah. Beliau mendapati bahawa amalan menyeluruh lebih bersifat dominan daripada amalan individu dan ini memudahkan pembentukan motivasi pembelajaran diantara kalangan warga sekolah tersebut. Ini dapat dikaitkan dengan keadaan pembelajaran di kelas. Sekiranya, guru dan murid dapat mencapai kesepaduan iklim-iklim ini, bukan sahaja mampu diwujudkan suasana motivasi pembelajaran yang tinggi, tetapi juga dapat melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik sahaja tetapi dari segi sahsiah.  

7.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, strategi pengurusan bilik pembelajaran berkait rapat dengan ketiga-tiga faktor yang telah disenaraikan iaitu faktor fizikal, faktor interaksi dan juga faktor iklim bilik darjah. Tuntasnya, pentingnya kerjasama daripada guru untuk melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh komitmen dan berkualiti agar dapat mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti dan sentiasa berjalan seiring dengan matlamat dan juga objektif pengajaran yang telah ditetapkan untuk kebaikan semua.


8.0 RUJUKAN

Ahmad Zabidi Abdul Razak (2006). Ciri Iklim Sekolah Berkesan : Implikasi Terhadap Motivasi Pembelajaran. Jurnal Pendidikan. 31 (2006) 3 – 19.

Howard, E.R. 1974. School climate improvement. Education Digest 39 (8): 333-336

Rotter, J. 1975. Some problems and Misconceptions related to the construction of internal versus external control of reinforcement. Journal of Consulting and Clinical Psychology 43 : 56-67.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 1981. Kurikulum baru sekolah rendah:
Matlamat, rasional, bidang pelajaran dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

Marland, M. (1975). The craft of the classroom: A survival guide to classroom management in the secondary school. London: Heinemann Educational.

Ee Ah Meng. 1995. Sekolah dan perkembangan pelajar: Asas pendidikan 4. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Mohd Hasani Dali & Mohamad Johdi Salleh (2009). ‘Pengurusan Bilik Darjah’. Dalam Noraini Idis dan Shuki Osman, Pengajaran dan Pembelajaran: Teori dan Praktis. Kuala Lumpur: McGraw Hill. Pps 161 – 188. ISBN 978-983-3850-54-9.

Anna Sam. (2014). STRATEGI MENGURUS BILIK PEMBELAJARAN (BD).
Diperolehi daripada https://prezi.com/pgbppf14o2kf/strategi-mengurus-bilik-pembelajaran-bd/

Wanita Bulanan Majalah Sains Popular Psikologi. (2020).APA ITU SOCIOMETRY? CIRI-CIRI, OBJEKTIF DAN KAEDAH. Diperolehi daripada https://ms.yestherapyhelps.com/what-is-sociometry-characteristics-objectives-and -methods-14235

Che Nidzam Che Ahmad, Noraini Mohamed Noh, Mazlini Adnan, Marzita Putih & Mohd Hairy Ibrahim (2014). Pengaruh Persekitaran Fizikal Bilik Darjah Terhadap Tahap Keselesaan Pengajaran Dan Pembelajaran. Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Comments